Press Releases
 
 
Hai-O diiktiraf
Mar 30, 2010
Source: Berita Harian
 
 
 
Terima anugerah CSR Perdana Menteri kategori Pembangunan Aspirasi Wanita

HAI-O Marketing Sdn Bhd menerima Anugerah CSR Perdana Menteri 2009 bagi kategori Pembangunan Aspirasi Wanita sebagai mengiktiraf sumbangan syarikat dalam memupuk dan mendidik usahawan wanita di Malaysia.

Pada majlis penganugerahan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan Hai-O, Tan Kai Hee menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Anugerah CSR Perdana Menteri 2009 yang disampaikan oleh Perdana Menteri ini dibahagikan kepada sembilan kategori untuk penilaian terdiri daripada kategori Pendidikan, Persekitaran, Budaya Tradisional, Perkhidmatan Sosial, Tanggungjawab Sosial Korporat / Amalan-amalan Tempat Kerja Terbaik, Pembangunan Aspirasi Wanita, Tanggungjawab Sosial Korporat Syarikat-syarikat Kecil, Anugerah Khas Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Pengerusi Kumpulan Hai-O, Tan Sri Osman S Cassim; Pengarah Eksekutif Kumpulan Hai-O, Tan Keng Song; Pengurus Besar Hai-O Marketing, Jym Ow dan Pengurus Besar Hai-O Enterprise, Tan Kee Hock.

Hai-O Marketing adalah finalis bagi kategori Pembangunan Aspirasi Wanita di mana anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada syarikat yang membantu kaum wanita yang teraniaya serta syarikat yang mempertingkatkan keadaan sosial dan kualiti hidup wanita.

Tan Kai Hee berkata, ini adalah kali pertama Hai-O mengambil bahagian dalam Anugerah CSR Perdana Menteri dan Hai-O Marketing terpilih dari 80 buah syarikat yang mengambil bahagian serta menjadi finalis bagi kategori Pembangunan Aspirasi Wanita.

“Saya gembira kerana ini adalah satu pengiktirafan dan galakan yang amat besar kepada syarikat Hai-O sekali gus memberi dorongan kepada kami untuk membantu lebih ramai usahawan wanita yang bernaung di bawah Hai-O untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata, menerusi penyertaan dalam anugerah CSR kali ini, Hai-O Marketing memperoleh pengalaman yang berharga.

“Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, kami dapat membuat persediaan dengan lebih baik agar memperoleh anugerah yang lebih besar. Sudah tentunya tujuan utama kami menyertai aktiviti ini adalah sebagai daya dorongan untuk memperbaiki pentadbiran syarikat secara berterusan,” katanya.

Anugerah CSR Perdana Menteri dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2007 bertujuan untuk mengiktiraf syarikat atau korporat yang telah menyumbang bakti kepada komuniti menerusi program CSR masing-masing.